Produk China Dengan Label ‘Made in Malaysia’ Berisiko Merosakkan Reputasi Negara

Isu penipuan perdagangan semakin menjadi perhatian apabila semakin banyak barang dari China dilabel sebagai “Made in Malaysia” untuk mengelak cukai import tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Hal ini berlaku berikutan tarif tinggi terhadap produk China di bawah pentadbiran Donald Trump. Beberapa pihak mengambil kesempatan dengan menukar label asal produk yang sebenarnya tidak diproses atau dihasilkan di Malaysia, dengan hanya membuat pengubahsuaian kecil seperti menukar kotak atau pemasangan ringan. Produk tersebut kemudiannya dihantar ke AS dengan label “Made in Malaysia.”

Modus operandi ini melibatkan broker luar yang menawarkan perkhidmatan murah untuk menukar label produk. Selain itu, mereka juga menggunakan cara round tripping, di mana kontena barang dari China dipindahkan melalui Malaysia sebelum dihantar ke AS. Walaupun pemasangan kecil dilakukan di Malaysia, ia tidak memberi impak besar terhadap produk tersebut.

Jika isu ini dibiarkan berlarutan, Malaysia berisiko kehilangan reputasi dalam pasaran antarabangsa. Negara-negara lain mungkin akan meragui sijil asal Malaysia, yang mengurangkan kepercayaan terhadap produk negara ini. Selain itu, Malaysia kini dalam rundingan perdagangan dengan AS, dan jika amalan penipuan ini diketahui, ia boleh merumitkan proses rundingan serta merosakkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Pihak berkuasa AS sudah memberi amaran bahawa syarikat-syarikat yang terlibat dalam penipuan ini boleh dikenakan denda besar dan disenaraihitamkan, yang memberi impak besar kepada perniagaan serta sektor eksport Malaysia. Syarikat yang tidak terlibat juga mungkin terjejas akibat reputasi negara yang tercalar.

Bagi menangani masalah ini, Malaysia perlu memperketatkan pengawasan eksport dan memastikan dokumentasi eksport dikendalikan dengan teliti. Kerajaan juga perlu mengenakan hukuman tegas terhadap mana-mana syarikat yang terlibat dalam penipuan ini.

Jika tidak ditangani segera, isu ini akan merosakkan integriti sektor eksport Malaysia dan menjejaskan kepercayaan global terhadap negara ini.