Tesla Sembunyikan Kerugian Bitcoin RM424 Juta

Tesla Inc., syarikat kenderaan elektrik milik bilionair Elon Musk, dilaporkan tidak mendedahkan kerugian sebanyak AS$97 juta (sekitar RM424 juta) daripada pegangan mata wang kripto Bitcoin dalam laporan pendapatan suku tahunan terbarunya. Menurut laporan Bloomberg bertarikh 24 April 2025, kerugian ini disembunyikan melalui pelarasan perakaunan yang meningkatkan keuntungan diselaraskan (non-GAAP) Tesla sebanyak kira-kira 12 peratus.

Dalam laporan rasmi, Tesla hanya mencatatkan pendapatan bersih sebanyak AS$400 juta. Namun, selepas pelarasan – termasuk pengecualian kerugian kripto dan perbelanjaan pampasan saham yang besar – syarikat itu melaporkan keuntungan diselaraskan mencecah AS$900 juta, lebih dua kali ganda daripada angka rasmi.

Pelarasan ini membantu memperbaiki imej prestasi kewangan Tesla dalam tempoh yang digambarkan sebagai suku paling lemah syarikat itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun pelaporan non-GAAP dibenarkan untuk menjelaskan prestasi operasi sebenar syarikat, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat memantau rapat amalan ini agar syarikat tidak memberikan gambaran kewangan yang terlalu optimistik kepada pelabur.

Pada tahun lalu, SEC telah menegur syarikat pelombong Bitcoin, Marathon Digital Holdings Inc., kerana tidak memasukkan peningkatan nilai aset kriptonya dalam pendapatan diselaraskan. Marathon kemudian bersetuju untuk mematuhi kehendak pengawal selia tersebut.

Walaupun aset digital tidak lagi menjadi fokus utama Tesla, syarikat itu masih membuat pelarasan terhadap turun naik nilai Bitcoin. Contohnya, ketika harga Bitcoin melonjak pada akhir 2024, Tesla melaporkan manfaat sebanyak AS$600 juta dan memasukkannya dalam pendapatan diselaraskan. Namun, sikap tidak konsisten ini menimbulkan kebimbangan.

Menurut penganalisis perakaunan, Olga Usvyatsky, jika syarikat tiba-tiba berhenti memasukkan pelarasan semasa Bitcoin mencatat keuntungan, ia boleh menjadi tanda amaran kepada pihak berkuasa.

Tambahan pula, peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Kewangan (FASB) pada Disember 2023 mewajibkan syarikat melaporkan aset kripto berdasarkan nilai pasaran semasa (fair value), mencerminkan turun naik harga secara langsung dalam laporan kewangan.

Ketua Pegawai Kewangan Tesla, Vaibhav Taneja, turut mengakui dalam satu panggilan bersama penganalisis bahawa perubahan perakaunan ini akan membawa lebih banyak ketidakstabilan dalam pendapatan lain syarikat, selain kesan kadar tukaran asing.

Namun begitu, apabila ditanya mengenai pengendalian khusus terhadap kerugian kripto dalam laporan kewangan terkini, Tesla enggan memberikan sebarang komen.

Tindakan Tesla ini mencetuskan persoalan besar tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban korporat dalam era pelaburan berisiko tinggi seperti kripto, terutama apabila syarikat gergasi seperti Tesla terlibat secara aktif dalam pasaran tersebut.