Harga Naik, Pelancongan Pulih: Penyeludupan Emas di Jepun Semakin Berleluasa

Kes penyeludupan emas di Jepun semakin meningkat disebabkan oleh kenaikan harga logam berharga itu serta pemulihan pelancongan antarabangsa selepas pandemik Covid-19. Pihak berkuasa kastam kini memperketat kawalan di sempadan bagi membanteras taktik penyeludupan yang semakin canggih.

Menurut laporan Kyodo News, penyeludup menggunakan pelbagai kaedah licik seperti menyembunyikan emas dalam bentuk serbuk di pakaian mereka. Contohnya, pada September lalu, dua warganegara China yang tiba dari Hong Kong dikesan membawa 2.6 kilogram serbuk emas yang disorok dalam rambut palsu di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Fenomena penyeludupan emas ke Jepun ini semakin berleluasa kerana aktiviti tersebut banyak dipromosikan di media sosial di China dan Hong Kong. Individu yang terlibat dijanjikan keuntungan besar jika mereka berjaya mengelak cukai import yang dikenakan oleh pihak kastam Jepun. Cukai ini ditetapkan pada kadar yang sama dengan cukai penggunaan negara tersebut.

Jumlah kes penyeludupan emas yang disiasat oleh pihak kastam Jepun mula meningkat sejak tahun 2014, apabila kadar cukai penggunaan dinaikkan daripada 5% kepada 8%. Pada tahun 2017, kes yang direkodkan mencecah 1,347. Kadar cukai tersebut terus meningkat kepada 10% pada tahun 2019, menyebabkan penyeludupan emas semakin menjadi-jadi.

Bagaimanapun, kes penyeludupan menurun pada tahun 2018 akibat penguatkuasaan hukuman yang lebih ketat serta sekatan kemasukan yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19. Namun, sejak kebelakangan ini, aktiviti ini kembali meningkat berikutan permintaan tinggi terhadap emas sebagai aset selamat, terutamanya selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Harga emas telah melonjak sekitar 2.5 kali ganda dalam tempoh lima tahun, mencecah ¥14,746 (RM430) bagi setiap gram pada penghujung Disember 2024.

Selain kaedah konvensional seperti memakai emas dalam bentuk aksesori, penyeludup kini menggunakan taktik lebih licik. Antaranya termasuk menyembunyikan serbuk emas dalam pakaian dalam, menghantarnya melalui pos antarabangsa dengan mencampurkannya dalam serbuk teh, dan menggantikannya dengan logam lain dalam komponen elektronik.

Kebanyakan individu yang terlibat dalam penyeludupan ini dipercayai direkrut melalui media sosial. Menurut Toshihide Manabe dari Kastam Tokyo, mereka kurang rasa bersalah berbanding penyeludup dadah kerana emas itu sendiri bukanlah barang terlarang.

Sebagai langkah pencegahan, pihak kastam Jepun sedang memperkukuh kawalan di sempadan dengan memperkenalkan peralatan pemeriksaan berteknologi tinggi. Selain menumpukan kepada individu yang membawa emas secara haram, pihak berkuasa juga berusaha membanteras kumpulan jenayah yang menjadi dalang di sebalik aktiviti penyeludupan ini.